GAMBAR hiasan. FOTO bernama
GAMBAR hiasan. FOTO bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan calon peperiksaan utama mendudukinya jika positif dijangkiti Covid-19 dalam tempoh kuarantin atau kontak rapat dengan pesakit lain.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, calon yang berkenaan hanya dibenarkan menduduki peperiksaan selepas selesai menjalani rawatan atau habis tempoh kuarantin.

Selain itu, katanya, calon berkenaan sudah mendapat pengesahan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran sebelum boleh mengikuti peperiksaan kembali di sekolah.

"Calon yang berkenaan akan dibekalkan dengan set kertas peperiksaan berbeza yang sudah ketinggalan itu namun dengan standard sama berbanding calon yang menduduki peperiksaan mengikut takwim ditetapkan.

"Calon itu juga perlu mempunyai surat atau bukti yang menyatakan disahkan positif virus Covid-19 atau dalam tempoh kuarantin daripada doktor bertauliah.

"KPM akan mengumumkan tarikh peperiksaan untuk kertas alternatif itu kemudian," katanya pada sidang media dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, jika calon berkenaan sudah habis tamat tempoh kuarantin dan rawatan serta diakui PKD namun ketika itu tempoh takwim peperiksaan masih berlangsung, maka calon itu boleh sambung mendudukinya.

Sementara itu, katanya, KPM belum memuktamadkan sebarang keputusan sama ada mahu membatalkan beberapa peperiksaan awam jika pandemik Covid-19 berlanjutan.

Peperiksaan itu termasuklah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Habibah, berkata keputusan terdahulu berhubung peperiksaan awam di negara ini hanya terpakai bagi tahun 2020.

"Saya tak boleh menyatakannya lagi kerana yang kita buat keputusan sebelum ini untuk 2020 sahaja. KPM belum buat keputusan untuk 2021.

"Kita perlu tunggu sebab ia masih dalam pertimbangan. Kita ada banyak pelan sebenarnya (bagi peperiksaan awam), tetapi yang mana satu sesuai... kita belum boleh umumkan," katanya.

Apa pun, katanya, pihaknya akan akur sebarang arahan diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan berhubung perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:42 PM