Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menangguhkan sementara perkhidmatan tren antara bandar di Pantai Timur bermula semalam sehingga Jumaat ini.

Ia susulan runtuhan tanah yang menjejaskan struktur landasan di KM392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai malam Sabtu lalu, lokasi hampir sama ketika kejadian pada 31 Januari 2016.

Pengurus KTMB Wilayah Timur, Zaid Ibrahim berkata, kejadian berlaku disebabkan hujan lebat yang berterusan memaksa pihaknya menggantung operasi untuk sementara.

"Semua perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis - Dabong dan Kuala Krai - Tumpat sahaja, manakala perkhidmatan Ekspres Timuran Johor Bahru - Tumpat hanya disediakan sehingga stesen Gua Musang sahaja.

"Penumpang akan dibawa menaiki bas di perantara stesen yang terjejas untuk meneruskan perjalanan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu dijangka akan berlaku kelewatan tren yang melebihi dua jam dan penumpang boleh membuang penukaran tambang atau menukar tarikh perjalanan sehingga kerja baik pulih selesai.

Tren dijangka beroperasi seperti sedia kala pada Jumaat (27 Januari). Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-22671200 atau layari laman web KTMB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 3:55 PM