Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI tergamak memukul kepala isterinya dengan sebatang besi di rumah mereka di Taman Keladi, di Kulim, menyebabkan wanita itu terpaksa menerima lima jahitan semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci berselisih faham dengan suaminya yang berusia 23 tahun selepas lelaki itu meminta sejumlah wang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagaimanapun mangsa enggan memberi wang diminta suspek menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Menurutnya, pertengkaran itu bertukar menjadi ganas apabila suspek mengambil sebatang besi dan terus memukul kepala mangsa sehingga berdarah.

“Akibat kejadian itu mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim dan menerima lima jahitan.

“Bimbang kejadian sama berulang, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kulim berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, sebaik menerima laporan itu, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya pada jam 1.30 pagi hari ini di sebuah rumah di Kulim.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Perintah tahanan reman akan dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:34 AM