BARANG kes membabitkan tangkapan enam individu disyaki terbabit dalam kejadian samun di jalan Pasar Baru Lunas, di sini, pada 31 Mei lalu. FOTO ihsan POLIS
BARANG kes membabitkan tangkapan enam individu disyaki terbabit dalam kejadian samun di jalan Pasar Baru Lunas, di sini, pada 31 Mei lalu. FOTO ihsan POLIS
Nor Farhani Che Ad


ENAM lelaki termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap pasangan suami isteri di jalan Pasar Baru Lunas, Kulim, pada 31 Mei lalu.

Suspek berusia 16 sehingga 38 tahun itu ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim, pada 12 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian itu suami isteri berusia 41 dan 32 tahun berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Taman Makmur dengan menaiki kereta.

"Seorang suspek dikatakan menahan kereta dinaiki pasangan itu, sebelum sekumpulan lelaki menyerang selepas mereka memberhentikan kereta.

"Kumpulan itu kemudian melarikan beberapa barangan milik suami isteri terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, antara barangan yang dilarikan adalah seutas rantai emas, sebentuk cincin emas, wang tunai RM60, kad pengenalan serta kad bank kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis berjaya menemui semula kad pengenalan dan seutas rantai emas milik mangsa lelaki ketika tangkapan dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 8:28 PM