GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

JUMLAH kes demam denggi di Pulau Pinang pada minggu lalu menunjukkan peningkatan lapan kes atau 34.78 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan hari ini melaporkan, bagi tempoh 14 hingga 20 Jun, 31 kes direkodkan berbanding 23 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Terdapat lapan lokaliti wabak aktif iaitu satu hotspot di Taman Air Itam dari daerah Timur Laut manakala satu lokaliti wabak tidak terkawal di Desa Baiduri dari daerah sama.

"Enam lokaliti wabak terkawal dikesan di daerah Timur Laut iaitu Kampung Sulup, Solok Free School, Jalan Lim Lean Teng, Medan Angsana, Jalan Angsana dan All Season Park Condo," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan jumlah kes demam denggi di Pulau Pinang bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Jun mencatatkan penurunan iaitu 441 kes dengan satu kematian berbanding 2,969 kes dan lapan kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, secara kumulatif, bagi penyakit chikungunya sejak Januari hingga 20 Jun terdapat 297 kes dilaporkan dan pada ketika ini terdapat tiga lokaliti hotspot di Flat Padang Tembak, Lorong Sempadan dan Taman Air Itam di daerah Timur Laut.

Selain itu, terdapat 23 lokaliti wabak terkawal yang terdiri dari 22 lokaliti di daerah Timur Laut dan satu lokaliti di Changkat Sungai Ara dari daerah Barat Daya.

JKNPP mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan penyakit denggi dan chikungunya antaranya melakukan pemeriksaan dalam rumah serta kawasan sekitar bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu.

"Orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah dan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan atau sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:03 PM