Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP mengeluarkan notis kompaun selepas menemui jentik-jentik dalam tandas rumah flat didiami warga asing menerusi Op Ganyang di Lorong Sembilang. FOTO DANIAL SAAD
Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP mengeluarkan notis kompaun selepas menemui jentik-jentik dalam tandas rumah flat didiami warga asing menerusi Op Ganyang di Lorong Sembilang. FOTO DANIAL SAAD
Siti Aminah Mohd Yusof


Seberang Jaya: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengambil tindakan drastik memeriksa bahagian dalam rumah flat didiami ramai warga asing menerusi Op Ganyang di Lorong Sembilang di sini, berikutan trend peningkatan kes denggi di kawasan terbabit.

Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata kira-kira 70 hingga 80 peratus penduduk adalah warga asing yang tinggal di premis yang turut disewa pihak industri sebagai asrama pekerja dan pihaknya mendapati ada di antara unit kediaman mereka berada dalam keadaan kotor serta tidak terurus.

"Kami menyarankan pihak pengurusan pekerja supaya memantau tahap kebersihan di premis yang dijadikan sebagai asrama supaya sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

"Lokaliti tersebut adalah antara kawasan 'hotspot' denggi dengan tempoh paling lama iaitu sebanyak 46 hari yang ketika ini merekodkan empat kes yang masih aktif," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berakhir malam tadi.

Mohd Wazir berkata, terdahulu pihaknya turut meninjau satu lagi kawasan flat yang merekodkan 33 kes denggi dalam tempoh 86 hari di Lorong Tenggiri yang di diami 40 hingga 60 peratus komuniti warga asing.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi terbabit mendapati terdapat rumah yang kelihatan baru diubahsuai dengan pembinaan struktur tambahan namun sisa bahan yang digunakan seperti simen tidak diurus dengan baik dan dibiarkan masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan aliran air tersekat.

"Situasi itu diburukkan lagi dengan pembuangan sampah sarap seperti botol dan plastik oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga longkang yang tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi selain nyamuk Culex.

"Kami juga mengesan ribuan jentik-jentik nyamuk Culex membiak dalam longkang berkenaan yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE) serta demam Chikungunya," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya mengeluarkan 12 notis kompaun dianggar berjumlah RM7,200 bagi kedua-dua lokaliti berkenaan.

Tambahnya, operasi bermula jam 5 petang hingga 9 malam membabitkan 21 pegawai dan anggota termasuk dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah dan PKD Seberang Perai Utara itu dijalankan hasil risikan dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan data di bilik gerakan vektor negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:19 PM