DAERAH Kinta catat kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 776 kes. FOTO Arkib NSTP
DAERAH Kinta catat kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 776 kes. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


KES demam denggi di Perak menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,351 kes direkodkan sejak awal tahun ini sehingga 2 Mei lalu berbanding 1,214 kes dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, daerah Kinta mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 776 kes, diikuti daerah Batang Padang (126) dan Larut Matang Selama (LMS) (96).

Menurutnya, terdapat 29 lokaliti wabak dilaporkan pada 18 minggu pertama di negeri ini pada tahun ini.

"Ia membabitkan enam lokaliti hotspot (wabak berlarutan melebihi 30 hari), dua wabak tidak terkawal (wabak berlarutan melebihi 14 hari) dan 21 lokaliti wabak terkawal (wabak dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengisytiharan wabak).

"Lima daripada enam lokaliti hotspot denggi adalah dari daerah Kinta iaitu 19 kes di Kampung Chepor Tambahan, Kampung Tersusun Batu 10 (25), Taman Klebang Jaya (11), Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 (30) dan RPT Chepor (19) serta satu lokaliti di daerah Batang Padang iaitu Taman Bukit Hijau (17 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, satu kematian dilaporkan di daerah LMS pada awal Januari lalu.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 4,484 bekas positif pembiakan nyamuk aedes ditemui di negeri ini dalam tempoh berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati punca utama kes demam denggi kerama kawasan pembiakan aedes yang tinggi di lokaliti terbabit .

"Jabatan Kesihatan Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kes demam denggi termasuk mengambil indakan penguat kuasaan.

"Sebanyak 743 kompaun dan 115 notis pembersihan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang didapati membiak aedes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 8:51 PM