GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Roji Kawi

MAHKAMAH Sesyen Sibu, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM13,000 terhadap seorang lelaki yang didakwa memiliki bulu burung ruai, tengkorak beruang dan tanduk rusa.

Hakim Stella Augustine Druce menjatuhkan hukuman itu terhadap Robin Njuk, 40, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Robin didakwa atas tiga tuduhan memiliki 22 bulu burung ruai atau 'Argus Pheasant', tengkorak beruang, tujuh tanduk rusa sambar dan tiga tanduk rusa 'barking deer'.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu Pasar Teresang, Kapit pada 5 Oktober tahun lalu.

Jika gagal bayar, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 17 bulan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, Uweng Ding, 51, didakwa memiliki 47 bulu burung ruai di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh yang ditahan penguatkuasa Sarawak Forestry Corporation(SFC), dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Kabir Abdul Kadir dan Hisyamudin Roslan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Burung ruai dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya manakala beruang dan rusa pula dilindungi mengikut Seksyen 37, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

Mana-mana orang yang memburu, membunuh, menangkap, menjual, menawarkan untuk menjual, mengimport, mengeksport atau memiliki mana-mana bahagian spesies haiwan dilindungi itu boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda RM25,000 jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:35 PM