PASUKAN penguatkuasaan SFC Miri menjalankan pemeriksaan ke sebuah premis menjual pelbagai anggota badan haiwan eksotik. FOTO Ihsan SFC
PASUKAN penguatkuasaan SFC Miri menjalankan pemeriksaan ke sebuah premis menjual pelbagai anggota badan haiwan eksotik. FOTO Ihsan SFC
Erika George


Miri: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Miri dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bahagian Miri merampas 690 anggota badan haiwan eksotik dari empat premis kraftangan di bahagian ini, hari ini.

Jurucakap SFC dalam satu kenyataannya berkata, serbuan menerusi Operasi Patuh yang dijalankan ke atas premis terbabit menemukan pelbagai anggota badan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini.

Katanya, antara yang dirampas 148 kuku beruang, 17 tanduk rusa, 14 kuku burung helang dan satu beg tangan yang diperbuat daripada kulit rusa.

"Adalah satu kesalahan sekiranya memiliki atau menjual anggota badan haiwan eksotik terutamanya haiwan terlindung di negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998," katanya.

Kesemua barangan yang dirampas dibawa ke Pejabat SFC Bahagian Miri untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menangkap, memburu, menjual atau memelihara hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya di negeri ini boleh menghubungi talian hotline SFC Kuching di talian 019-8859996, SFC Sibu (019-8883561), SFC Bintulu (019-8332737) dan SFC Miri (019-8290994).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 11:29 PM