BEKALAN tepung gandum masih mencukupi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BEKALAN tepung gandum masih mencukupi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bekalan tepung gandum di pasaran tempatan tidak mempunyai masalah dan masih mencukupi walaupun India melarang eksport barangan itu ke luar negara.

Pemilik kedai runcit Hanifa Maju di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, P Lingam, 54, berkata, dia masih menerima bekalan tepung gandum seperti biasa.

Menurutnya, harga tepung gandum juga setakat ini masih RM3.30 bagi bungkusan satu kilogram (kg) manakala untuk seguni 25 kg kekal berharga RM62.

"Untuk paket kecil biasanya dibeli oleh orang perseorangan manakala pelanggan yang membeli dalam jumlah besar berguni-guni pula adalah dalam kalangan peniaga restoran seperti peniaga roti canai.

"Apa yang boleh saya cakap, bekalan tepung gandum memang ada. Cuma ada jenama tertentu kadang-kadang tak ada," katanya yang ditemui ketika tinjauan Harian Metro, hari ini.

Pembeli, Rozaimi Othman, 42, dari Wangsa Maju, di sini, berkata setakat ini dia belum menghadapi masalah untuk mencari tepung gandum.

"Alhamdulillah. Tepung tak ada masalah. Cuma minyak masak yang kadang-kadang susah sikit nak cari.

"Saya makan roti canai di kedai mamak pun tak ada yang naikkan harga setakat ini. Untuk pembelian tepung gandum pula, biasanya saya beli dua atau tiga paket sekilogram," katanya.

Katanya, ia untuk memudahkan isterinya Azizah Md Yassin, 42, menyediakan minum petang kegemaran seperti cekodok dan lempeng.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam berkata, negara hanya bergantung terhadap peratusan kecil import gandum dari India, sekali gus tidak memberi kesan signifikan kepada bekalan.

"Negara bergantung 85 peratus gandum dari Australia, manakala 15 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India. Jadi larangan dari India tidak beri kesan secara jilid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:05 PM