GURU subjek sejarah Siti Fatimah hari pertama mengajar sesi persekolahan pasca Covid-19 di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Tengku Muhammad, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
GURU subjek sejarah Siti Fatimah hari pertama mengajar sesi persekolahan pasca Covid-19 di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Tengku Muhammad, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 197 pegawai perhubungan sekolah (PPS) ditugaskan untuk memantau semua sekolah di Pahang yang memulakan sesi persekolahan pasca Covid-19, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pegawai polis berpangkat inspektor ke atas itu berada di semua sekolah Pahang bagi memantau kepatuhan terhadap semua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, pegawai terbabit akan berada di sekolah selama seminggu bermula hari ini dan sekiranya mereka berpuas hati aktiviti pemantauan dilakukan secara berkala selepas ini.

"Selepas berpuas hati dengan pematuhan SOP, tanggungjawab pemantauan diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

"Saya berpuas hati dengan pematuhan SOP di semua 197 sekolah di pahang yang memulakan sesi persekolahan hari ini dan berharap ia dapat terus dikekalkan bagi memastikan tahap keselamatan serta kesihatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah terus terjamin.

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya sesi persekolahan kali ini dapat berjalan lancar," katanya selepas membuat tinjauan hari pertama sesi persekolahan pasca Covid-19 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Zaini Abu Bakar.

Abd Jalil berkata, dia amat berpuas hati terhadap pematuhan SOP di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad apabila 231 pelajar dan 109 guru dilihat tidak menghadapi masalah untuk mematuhi SOP ditetapkan membabitkan semua lokasi seperti di kelas, tandas, kantin dan laluan berjalan kaki.

Katanya, pelajar dan guru patuh jarak sosial satu meter yang ditetapkan, penggunaan pelitup muka dan pensanitasi tangan disediakan di setiap lokasi tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 3:40 PM