KEADAAN meja yang rosak akibat dipecahkan lelaki yang mengamuk. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN meja yang rosak akibat dipecahkan lelaki yang mengamuk. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


LELAKI ditahan polis selepas mengamuk dan merosakkan harta benda di rumah ahli keluarganya dekat Permatang Kuang, Penaga, Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 24 tahun berkenaan bertindak agresif apabila memecahkan cermin tingkap, televisyen dan meja kayu sebelum menghalau ibunya keluar dari rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis segera ke rumah terbabit selepas mendapat panggilan daripada adik lelaki terbabit memberitahu abangnya mengamuk.

"Adik suspek memaklumkan ketika kejadian dia tidak ada di rumah namun dihubungi ibunya yang ketakutan apabila abangnya tiba-tiba bertindak agresif bahkan sanggup menghalau ibunya keluar dari rumah.

"Siasatan di rumah mendapati kejadian berlaku di ruang tamu dan terdapat kesan serpihan kaca cermin tingkap yang dipecahkan suspek di luar rumah.

"Suspek juga turut memecahkan televisyen dan meja kayu yang berada di ruang tamu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, suspek ditahan pada jam 10.30 malam untuk siasatan lanjut.

"Kejadian ini adalah kali kelima berlaku namun malam tadi kali pertama suspek bertindak agresif yang mana ia berlaku tanpa sebab.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah namun ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya negatif," katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 12:03 PM