Muhaamad Hafis Nawawi


BEKAS Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh menafikan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkahwinan bawah umur di laman sosial Facebooknya yang didakwa palsu dan berunsur fitnah.

Hannah sebelum itu dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan.

Beliau berbaju kurung ungu ditemani dua peguamnya Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan tiba jam 10 pagi dan dirakam keterangan selama sejam bagi membantu siasatan berhubung satu catatannya sebelum ini yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Hannah berkata, beliau memaklumkan kepada polis bahawa kenyataan itu palsu dan tidak pernah dicakapnya dan sudah membuat penjelasan berkaitan itu di Facebook dan Twitter.

"Ini satu fitnah dan kenyataan palsu dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab malah saya memberi kerjasama menyerahkan nama pengguna dan kata laluan akaun Facebook serta telefon bimbit bagi membantu siasatan.

"Terima kasih kepada polis kerana bertindak profesional ketika merakam percakapan saya," katanya ketika ditemui di luar Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan.

Sementara itu, Gobind Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Terima kasih kepada polis kerana keterangan diambil secara profesional dan sekiranya perlu dipanggil semula kita sedia bekerjasama.

"Harap polis dapat menjalankan siasatan secepat mungkin dan kita juga tidak ada masalah menyerahkan telefon bimbit Hannah untuk tujuan membantu siasatan," katanya.

HANNAH Yeoh, bersama Peguamnya, Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan, keluar dari Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan kepada pihak Polis. FOTO Fathil Asri
HANNAH Yeoh, bersama Peguamnya, Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan, keluar dari Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan kepada pihak Polis. FOTO Fathil Asri

Harian Metro sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Hannah Yeoh dan Siti Kasim bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan dan pecah keamanan yang tular di Facebook (FB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman akan merakam keterangan kedua-dua pemilik akaun FB terbabit.

Polis memulakan siasatan pada 11 Mac lalu selepas tular kenyataan Hannah Yeoh di FB yang mempunyai kecenderungan menghasut dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 1:16 PM