Ayob Khan (dua dari kiri) melihat bungkusan dadah bernilai RM 3.4 juta hasil tumpasnya sindiket penyeludupan dadah. FOTO OMAR AHMAD
Ayob Khan (dua dari kiri) melihat bungkusan dadah bernilai RM 3.4 juta hasil tumpasnya sindiket penyeludupan dadah. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


EMPAT sekeluarga ditahan di sekitar Muar, pada Jumaat dan kelmarin, selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang bernilai RM3.406 juta.

Mereka antara enam individu yang ditahan polis selepas dikesan mendalangi aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut ke negara jiran sejak Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat sekeluarga itu terdiri daripada ibu, abang, adik dan abang ipar, manakala dua individu lagi tidak kaitan persaudaraan dengan mereka.

Katanya, empat sekeluarga itu ditahan susulan maklumat yang diterima Polis Marin Wilayah Dua selepas menahan dua rakan sindiket mereka di kawasan laut Tanjung Tohor, Muar.

"Polis menjalankan lima serbuan berasingan di sekitar Muar sebelum berjaya menahan empat suspek membabitkan ahli keluarga berusia antara 20 hingga 50 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 42.8 kilogram syabu, 51,703 pil ekstasi dan 9,500 pil eramin 5 berjumlah keseluruhan RM3.406 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Beliau berkata, tiga daripada suspek positif methapethamin, manakala dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah bot dan satu enjin serta dua kenderaan dengan nilai anggaran RM65,000," katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Ayob Khan berkata, polis turut menahan lapan lagi suspek, termasuk seorang wanita sindiket pengedaran dadah.

Katanya, kesemua berusia 23 hingga 33 tahun ditahan menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Seri Alam pada Sabtu lalu.

"Dalam serbuan itu polis merampas pelbagai dadah bernilai RM20,341 dan menyita sebuah kenderaan dan wang tunai bernilai RM20,795.

"Daripada lapan suspek yang ditahan lima didapati positif methapethamin, manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 4:05 PM