ENAM lelaki mempamerkan aksi ‘superman’ ketika melalui LPT2 sebelum ditahan polis di Pasar Besar, Kuala Berang, semalam.
ENAM lelaki mempamerkan aksi ‘superman’ ketika melalui LPT2 sebelum ditahan polis di Pasar Besar, Kuala Berang, semalam.
Zaid Salim


HASRAT enam lelaki menunggang motosikal dari Kelantan ke Kuala Berang untuk menikmati hidangan ikan baung terbantut apabila mereka ditahan gara-gara melakukan aksi superman, semalam.

Aksi berbahaya itu disedari anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu ketika melakukan Ops Samseng Jalanan di Plaza Tol Gemuroh, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada 12 tengah hari.

Ketua Polis Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, sebaik memasuki lebuh raya, kumpulan penunggang berusia 18 hingga 36 tahun itu didapati menunggang secara berbahaya dengan bersaing sesama mereka sambil melakukan aksi superman.

"Polis mengekori mereka bermula dari Plaza Tol Gemuroh dan semua mereka ditahan sebaik memberhentikan motosikal masing-masing di Pasar Besar Kuala Berang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, enam lelaki terbabit bersama motosikal Yamaha Y150 dan Yamaha RXZ masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Pihak polis mengeluarkan saman terhadap mereka kerana tiada lesen memandu, tidak memiliki insuran dan cukai jalan tamat tempoh.

"Lain-lain kesalahan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi, ubah suai kenderaan dan ubah suai exzos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 3:34 PM