FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


SEBANYAK 18 kematian akibat denggi dilaporkan di Johor sejak awal tahun ini hingga 6 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyanathan berkata, daripada jumlah itu, 12 mangsa yang meninggal dunia berusia antara 20 hingga 59 tahun.

Katanya, penyumbang utama kematian disebabkan faktor kelewatan mendapat rawatan.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 4,371 kes denggi dilaporkan di Johor sehingga 6 Jun lalu dan daerah paling tinggi adalah Johor Bahru (80.7 peratus) diikuti Kluang (3.6 peratus), Kulai (3.3 peratus), Segamat (3.3 peratus), Batu Pahat (2.6 peratus), Mersing (2.3 peratus), Kota Tinggi (1.3 peratus), Muar (1.2 peratus), Pontian (0.9 peratus) serta Tangkak (0.9 peratus).

"Daripada jumlah terbabit, sebanyak 2,099 kes adalah dari lokaliti wabak denggi manakala jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga kini adalah 605.

"Terdapat 61 lokaliti wabak denggi yang masih aktif dengan daerah Johor Bahru (56 lokaliti), Kluang (4 lokaliti) dan Mersing (1 lokaliti)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai gejala seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan sendi serta ruam-ruam di badan perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik.

Katanya, tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 sudah dijalankan merangkumi beberapa seksyen yang boleh mengakibatkan denda atau penjara kepada pelaku kesalahan.

"Sehingga minggu 20 tahun ini, sebanyak 67 bil Perintah Notis Seksyen 8 (pembersihan) sudah dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati melakukan kesalahan.

"Sebanyak 1,117 kompaun bernilai RM547,052 dikeluarkan bagi premis yang didapati mempunyai pembiakan aedes manakala terdapat enam kes didaftarkan di mahkamah atas kesalahan berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 2:38 PM