GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) masih mengekalkan bilangan jemaah bagi solat Jumaat seramai 40 orang sehingga satu keputusan muktamad diputuskan dalam masa terdekat.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman berkata, sebelum keputusan diambil untuk menambah bilangan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid, ia terlebih dahulu perlu dibincang dan mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed sebagai Pengerusi Jemaah Ulamak sebelum mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Katanya, seramai 40 jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal, siak, ahli jawatankuasa masjid dan anak mukim yang terpilih.

"Ahli jawatankuasa dan anak mukim yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir dan jemaah yang hadir ke masjid perlu memakai pelitup muka.

"Namun apabila prosedur operasi standard Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, kami akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan jemaah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, aktiviti keagamaan di masjid dan surau juga masih belum dibenarkan lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 8:43 PM