SERAMAI 10 penagih termasuk seorang wanita di tahan dalam operasi khas AADK yang bermula jam 8 hingga 5 pagi tadi. FOTO IHSAN AADK
SERAMAI 10 penagih termasuk seorang wanita di tahan dalam operasi khas AADK yang bermula jam 8 hingga 5 pagi tadi. FOTO IHSAN AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA berstatus isteri orang ditahan bersama teman lelakinya kerana dipercayai menghisap dadah jenis syabu di rumah lelaki berkenaan di Mata Ayer, Arau, semalam.

Kedua-dua mereka antara 10 penagih berusia 18 hingga 50 tahun yang ditahan pada 11 malam dalam operasi khas oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah AADKPerlis, Azizah Ahmad berkata, wanita berusia 37 tahun itu sudah tidak tinggal bersama suaminya berikutan lelaki terbabit sedang mendapatkan rawatan pemulihan akibat ketagihan dadah.

“Wanita terbabit mengaku dia bersekedudukan dengan teman lelakinya yang juga seorang penagih demi mendapatkan bekalan dadah.

“Mereka mendakwa sudah mengenali sejak zaman persekolahan dan wanita terbabit terjebak dengan gejala dadah akibat pengaruh daripada suaminya sejak 2012.

“Bagaimanapun kesemua anak wanita terbabit yang berusia tujuh hingga 18 tahun dijaga oleh ibu mentuanya sejak keluarga mereka berpecah akibat masalah dadah,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan tiga beradik lelaki berusia 18 hingga 24 tahun dari Sungai Berembang, Kangar atas kesalahan menagih dadah jenis syabu.

“Dua daripada mereka pernah ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah dipenjarakan di Pusat Koreksional Perlis selama enam bulan dan Penjara Sungai Petani selama satu bulan.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku mengambil dadah jenis syabu akibat perasaan ingin mencuba dan juga pengaruh rakan,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 3:01 PM