BANGUNAN SPRM, Putrajaya (gambar arkib NSTP). FOTO Asyraf Hamzah
BANGUNAN SPRM, Putrajaya (gambar arkib NSTP). FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya melakukan tangkapan terhadap seorang setiausaha politik kepada bekas menteri kelmarin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek berusia 49 tahun itu sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam dan direman selama 6 hari untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan terhadap setiausaha politik terbabit berhubung aduan rasuah ke atas pemberian kontrak di sebuah kementerian secara runding terus bernilai RM56 juta.

"SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa dan ruang untuk dijalankan siasatan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang dan standard operating procedure yang ditetapkan. Siasatan akan dijalankan secara profesional," katanya kepada Harian Metro.

AHMAD Khusairi
AHMAD Khusairi

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuashati terhadap tindakan ini, pihak terbabit boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan yang difikirkan wajar.

"SPRM akan tetap meneruskan siasatan ini sehingga selesai secara profesional dan adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan," katanya.

Dalam laporan media semalam, seorang bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, ditahan SPRM kelmarin.

Suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya Selasa lalu selepas hadir memberi keterangan terhadap siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan, jika didapati bersalah.

Sumber berkata, siasatan awal terhadap suspek itu mendapati dia dikatakan terbabit menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek sistem keselamatan itu melalui cara rundingan terus dengan sebuah kementerian sekitar Ogos tahun lalu.

Hasil beberapa pemeriksaan dilakukan, pegawai SPRM menemui wang tunai pelbagai matawang asing bernilai RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 3:18 PM