Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Rosyahaida Abdullah


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan Covid-19 terhadap 32,075 daripada 41,435 individu yang dikenal pasti di 390 pasar di seluruh negara.

Mereka yang disaring itu membabitkan peniaga, pekerja dan lain-lain yang berurusniaga dengan pasar berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah mereka yang positif daripada saringan di pasar itu adalah 271 kes iaitu 0.8 peratus.

"Jumlah mereka bergejala dan positif adalah 37 kes iaitu 13.6 peratus manakala mereka yang tidak bergejala dan positif adalah 234 kes iaitu bersamaan 86.4 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai saringan di 378 sekolah tahfiz dan madrasah, katanya, sejumlah 20,271 membabitkan pelajar, guru dan kakitangan dikenal pasti.

Menurutnya, jumlah sampel diambil dan diuji adalah 15,064 bersamaan 72.7 peratus manakala jumlah positif 684 kes bersamaan 4.5 peratus.

"Bagi saringan di sekolah tahfiz dan madrasah, mereka yang bergejala dan positif adalah 96 kes iaitu 14 peratus manakala mereka yang tidak bergejala dan positif adalah 588 kes iaitu 86 peratus," katanya.

Beliau turut memperincikan saringan di 295 pusat jagaan warga emas membabitkan seramai 12,680 individu dalam kalangan penghuni, penjaga dan kakitangan yang dikenal pasti.

Jumlah sampel yang diambil dan diuji di pusat jagaan warga emas, katanya, sebanyak 10,942 iaitu 86.3 peratus.

Menurutnya, mereka yang positif adalah 23 kes iaitu bersamaan dengan 0.2 peratus.

"Daripada jumlah itu. mereka yang bergejala adalah tiga kes iaitu 13 peratus manakala mereka yang tidak bergejala positif adalah 20 kes iaitu 87 peratus.

"Untuk laporan warga Malaysia yang pulang dari luar negara bagi tempoh 3 April hingga 27 Mei adalah sejumlah 42,000 individu dikenakan perintah jalani kuarantin wajib selama 14 hari.

"Jumlah sudah tamat menjalani kuarantin wajib itu seramai 34,011 orang. Jumlah kes yang positif adalah 462 individu iaitu pertambahan enam kes hari ini," katanya.

Katanya, pertambahan enam kes itu adalah empat kes pulang dari Mesir dan masing-masing satu kes dari United Kingdom (UK) serta Pakistan.

GAMBAR hiasan... FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan... FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:44 PM