PENGANTIN adik beradik Nurul Norain Tahir (dua dari kiri) dan Nor Atiqah bersama pasangan masing-masing selepas majlis pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Raub. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENGANTIN adik beradik Nurul Norain Tahir (dua dari kiri) dan Nor Atiqah bersama pasangan masing-masing selepas majlis pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Raub. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PERNIKAHAN serentak dua adik beradik, Nurul Norain Tahir, 30 dan Nor Atiqah, 28 dengan pasangan masing-masing menjadi kenangan manis buat mereka disatukan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Majlis serba ringkas yang diadakan Jumaat minggu lalu dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan tanpa dihadiri ahli keluarga terlalu ramai.

Menurut Nurul Norain, walaupun dalam suasana terbatas dan berhati-hati namun dia tetap bersyukur dapat melangsungkan majlis perkahwinan secara serentak seperti dirancang.

Katanya, dia dan suami, Mohd Redzuan Ramli, 32 memutuskan meneruskan majlis pernikahan walaupun dalam suasana PKPB, perasaan sedih bercampur gembira tidak mungkin dapat diluah dengan kata-kata.

"Menjadi sejarah manis buat kami apabila mendirikan rumahtangga secara serentak dan pada masa sama diadakan dalam suasana negara masih lagi berhadapan wabak Covid-19 hingga memaksa kerajaan mengenakan PKPB.

"Saya yakin pasti ada hikmah apa yang berlaku hari ini, walaupun tanpa acara kenduri atau jamuan namun itu tidak menjejaskan rancangan diatur sebelum ini," katanya yang menetap di Raub.

Beliau berkata, rancangan asal majlis perkahwinan dia dan adiknya diadakan 24 Julai depan namun terpaksa dipercepatkan pada 5 Jun selepas mendapat cadangan tarikh baru daripada Pejabat Agama Daerah Raub.

"Saya bersyukur walaupun semua rancangan awal terpaksa dibatalkan namun yang penting upacara pernikahan selamat diadakan Pejabat Agama Daerah Raub pada 5 Jun lalu.

"Saya dan adik kini sudah sah bergelar isteri kepada pasangan masing-masing," katanya yang bertugas di premis kasut di bandar Raub.

Bagi Nor Atiqah majlis pernikahan itu diadakan dalam suasana ringkas dan hanya dihadiri beberapa ahli keluarga terdekat sahaja.

"Kami sekeluarga bercadang mengadakan majlis kenduri apabila keadaan negara kembali normal walaupun kecil, cepat atau lambat bukan persoalannya.

"Saya berterima kasih kepada suami, Aizat Aqeel Firdaus Razali, 27, yang bersetuju setiap apa keputusan dibuat dalam memastikan hubungan kami berakhir dengan pernikahan," katanya.

Menurutnya, kenangan majlis perkahwinan dalam suasana PKPB pastinya menjadi sejarah hidup dia dan kakak serta pasangan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 1:46 PM