Ahmad Rabiul Zulkifli


"PENDUDUK sudah lama bersabar dan menggesa semua pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terputus di kawasan ini segera," kata Samsaimi Jaafar, 51, seorang daripada 300 penduduk di Tanah Lot Skin Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, ketika ditemui hari ini.

Samsaimi berkata, masalah gangguan bekalan air berlaku sejak 2007 dan sepanjang tempoh itu pelbagai aduan sudah diajukan kepada pihak bertanggungjawab tetapi tiada tindakan segera diambil.

"Mereka cuma memaklumkan kepada kami masalah gangguan bekalan air itu akan diselesaikan secepat mungkin tetapi sampai sekarang ia tidak diselesaikan.

"Syarikat Air Terengganu (SATU) hanya menyediakan satu tangki statik di kawasan itu untuk kegunaan ketika bekalan air terputus tetapi ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan semua penduduk," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan masalah gangguan bekalan air di kawasan SPKA itu berikutan kawasan penempatan penduduk berkongsi paip utama dengan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai sekali gus menyebabkan tekanan air di kawasan itu rendah.

"Sebelum ini pihak bertanggungjawab ada berjanji membina tangki air khas di satu kawasan yang sudah dikenal pasti bagi menyelesaikan masalah itu.

"Bagaimanapun sampai sekarang tangki air dijanjikan itu masih belum dibina dan penduduk terpaksa menghadapi masalah gangguan bekalan air itu tidak mengira masa sehingga sekarang.

"Gangguan bekalan air berlaku tidak mengira waktu dan biasanya mengalami gangguan seharian," katanya.

Menurutnya, dia mewakili semua penduduk merayu pihak SATU dan kerajaan negeri prihatin serta menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

"Pada Aidilfitri, penduduk terpaksa beraya tanpa kemudahan air dan ia menjejaskan kemeriahan sambutan hari raya," katanya.

Nor Ghaiza Abdul Ghani, 53, berkata, dia sebagai peniaga kedai makan memang terjejas kerana masalah gangguan bekalan air itu.

"Saya sudah tidak larat mengangkut air daripada tangki statik disediakan itu.

"Penduduk sudah hilang sabar dengan masalah gangguan bekalan air itu, banyak kesan negatif yang terpaksa ditanggung.

"Pernah saya sedang mandi, berwuduk dan membasuh, bekalan air terputus secara tiba-tiba dan ia menjejaskan aktiviti penduduk seharian," katanya.

Tambahnya, dia kerap terpaksa menutup kedai berikutan gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan itu.

PENDUDUK Tanah Lot Skin Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai sedang menadah air di tangki statik yang disediakan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENDUDUK Tanah Lot Skin Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai sedang menadah air di tangki statik yang disediakan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

"Apabila air tiada, penyediaan makanan untuk dijual juga mengalami kesukaran seterusnya menyebabkan saya tidak dapat berniaga.

"Penduduk berharap masalah gangguan bekalan air di kawasan SPKA itu dapat diselesaikan segera untuk kemudahan semua penduduk," katanya.

Mohd Yani Draman, 54, berkata, dia mengharapkan campur tangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah membelenggu penduduk itu.

"Sudah lama penduduk bersabar dan menanti janji manis pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kemuncak kepada kesabaran kami apabila penduduk mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti seharian sepanjang Ramadan dan Aidilfitri kerana bekalan air terputus," katanya.

Menurutnya, dia berharap aduan dan keluhan penduduk kali ini mendapat perhatian dan tindakan segera semua pihak.

"Rata-rata penduduk di kawasan ini terdiri daripada warga emas oleh itu memang mengalami kesukaran apabila terputus bekalan air," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya akan segera menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.

"Kami akan meneliti punca utama kepada masalah berkenaan dan kakitangan SATU sudah diarahkan ke kawasan itu.

"SATU akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di kawasan itu secepat mungkin," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 1:36 PM