IR Atemin (kanan) bersama Sulaiman meninjau kawasan yang akan dibina rumah pam untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Tanah Lot SPKA, Wakaf Tapai. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
IR Atemin (kanan) bersama Sulaiman meninjau kawasan yang akan dibina rumah pam untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Tanah Lot SPKA, Wakaf Tapai. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


SYARIKAT Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd memperuntukkan RM100,000 bagi membina rumah pam di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, Marang, sekali gus menyelesai masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Atemin Sulong berkata, pihaknya akan memastikan masalah bekalan air yang sering berlaku di SPKA diselesaikan selewat-lewatnya sebelum sambutan Aidiladha.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk membina rumah pam itu dan menggunakan peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SATU bagi membina rumah pam berkenaan.

"Masalah gangguan bekalan air di SPKA itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk berada di kawasan tinggi, sekali gus menyebabkan tekanan air menjadi rendah.

"Pembinaan rumah pam itu diyakini akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan dan pam itu nanti akan melancarkan aliran air untuk 20 rumah paling terjejas di SPKA," katanya ketika ditemui pada Program Temubual SATU Sdn Bhd bersama Penduduk SPKA Wakaf Tapai berkaitan Isu Gangguan Bekalan Air di Marang, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Timur Wan Zuhairah Wan Ali.

Atemin berkata, pihaknya mengenal pasti 20 rumah paling terjejas di SPKA dan sering mengalami gangguan bekalan air.

Beliau berkata, selain di SPKA, beberapa kawasan lain di Marang dikenal pasti turut mengalami masalah bekalan air berikutan berada di kawasan tinggi selain kes kebocoran paip utama daripada tangki air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:01 PM