GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Fatihah Sulaini


PERMAISURI: Akibat terlalu taksub dengan permainan popular atas talian PUBG, seorang wanita didakwa sanggup meninggalkan suami dan anaknya yang berusia tiga tahun pada 31 Mei lalu.

Difahamkan, wanita dari Penarik, Setiu itu dikatakan menghilangkan diri gara-gara permainan itu dan gagal dikesan sehingga kini.

Menurut sumber, wanita berusia 22 tahun itu keluar rumah dengan menunggang motosikal.

"Wanita itu dipercayai terlalu leka dengan permainan atas talian PUBG dan berkenalan dengan seorang lelaki yang mungkin mempengaruhinya sehingga sanggup meninggalkan keluarga.

"Kali terakhir wanita itu dilihat adalah di sekitar Manir yang mana motosikal miliknya ditemui di sebuah pasar raya di kawasan terbabit.

"Susulan kejadian, ahli keluarga wanita itu membuat laporan di Balai Polis Penarik, Setiu petang semalam berhubung kehilangannya," katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Buat masa ini, kami masih mengesan wanita berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:08 PM