Nadzri menunjukkan baki bil pembedahan yang tertunggak dan perlu dijelaskannya. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Nadzri menunjukkan baki bil pembedahan yang tertunggak dan perlu dijelaskannya. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


MALANG berganda. Sudahlah hilang punca pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ketua keluarga pula terlantar akibat penyakit Lumbo-Sakral Spine atau tulang bernanah.

Begitu nasib Nadzri Mohamed, 53, dari Taman Serai Jati, Bagan Serai apabila tidak mampu berniaga kerana tidak mampu berdiri berikutan penyakit yang dialami.

Lebih menyedihkan, Nadzri dan keluarga buntu mencari dana untuk melangsaikan baki hutang pembedahan tulang belakangnya berjumlah hampir RM10,000 di sebuah hospital swasta di Perak.

Nadzri berkata, dia dan keluarga tidak mampu membayar hutang terbabit berikutan tiada sumber pendapatan lain.

"Kami sekeluarga termasuk isteri dan seorang anak hanya menjual tudung di pasar-pasar sekitar daerah Kerian, namun hilang punca rezeki kerana tidak boleh berniaga sejak pelaksanaan PKP.

ADUN Alor Pongsu, Datuk Shan Mat Sahat (kiri) melihat keadaan Nadzri yang kini tidak mampu berkerja dan terlantar. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
ADUN Alor Pongsu, Datuk Shan Mat Sahat (kiri) melihat keadaan Nadzri yang kini tidak mampu berkerja dan terlantar. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

"Pada awal April lalu, saya disahkan menghidap penyakit tulang bernanah dan kini hanya terlantar selain terpaksa bergantung pada tongkat selepas menjalani beberapa pembedahan," katanya.

Nadzri berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat di rumahnya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bagan Serai, Zarina Abdol Majid.

Katanya, dia mula menjalani pembedahan pada pertengahan April lalu dan sehingga kini sudah lima kali membuat pembedahan serta rawatan.

"Saya amat berharap ada pihak tampil dan sudi membantu meringankan beban yang ditanggungnya," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Nadzri di talian 016-8739798 bagi menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Sham berkata, pihaknya sudah membantu keluarga itu dan akan merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pesakit ini mendapat bantuan wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 7:12 PM