GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


PENGGUNA Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan mula mendapat bil bacaan sebenar mulai esok berikutan pelaksanaan semula pembacaan meter yang dihenti sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

TNB menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini di Kuala Lumpur berkata, seramai 3.5 juta pelanggan TNB di dua negeri itu dan Kuala Lumpur akan menerima bil bacaan sebenar mereka serta mendapat pelarasan kepada bil anggaran yang diberikan TNB sejak Mac lalu.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa sebanyak 27 Kedai Tenaga di dua negeri berkenaan dan sekitar ibu negara akan kembali beroperasi seperti biasa mulai esok untuk memanfaatkan 3.5 juta pelanggannya.

Menurutnya, pembukaan semula operasi itu memudahkan pengguna mendapat maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.

Katanya, sebanyak 26 kiosk pembayaran layan diri dan bacaan meter turut kembali beroperasi di 27 Kedai Tenaga itu.

"Secara amnya, pengguna boleh menjangkakan bacaan bil sebenar mereka akan lebih tinggi daripada bil anggaran kerana bil anggaran adalah berdasarkan penggunaan Februari yang lebih rendah berbanding semasa tempoh PKP," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa penggunaan elektrik sepanjang PKP di kediaman meningkat antara 20 hingga 50 peratus kerana semua penghuni kediaman berkurung bagi mematuhi perintah itu dan majoriti pekerja pula bekerja dari rumah.

Mengulas lanjut, katanya, pembukaan Kedai Tenaga mulai esok menjadikan sejumlah 119 Kedai Tenaga dibuka semula selepas ditutup sementara susulan PKP.

"26 lagi kiosk pembayaran layan diri TNB turut beroperasi semula, lantas meningkatkan jumlah kiosk pembayaran layan diri yang kembali beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia kepada 83.

"Operasi semula Kedai Tenaga adalah antara jam 9 pagi hingga jam 4 petang (kecuali hujung minggu), kiosk TNB antara 8 pagi hingga 8 malam dan bacaan meter ini berikutan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur kini berada dalam kategori zon hijau dan kuning penularan pandemik Covid-19.

"Selain Kedai Tenaga, pelanggan TNB juga boleh mendapat penjelasan mengenai pelarasan bil mereka di talian TNB CareLine 1-300-88-5454," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:04 PM