KAEDAH prorata yang digunakan untuk pelarasan bil menjamin pengguna tidak dicajkan bil berlebihan.
KAEDAH prorata yang digunakan untuk pelarasan bil menjamin pengguna tidak dicajkan bil berlebihan.
BERNAMA

PENGGUNA tidak perlu bimbang mengenai pelarasan tarif bil elektrik menggunakan kaedah prorata kerana kaedah tersebut adalah tepat dan jelas, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, bil sebenar menerusi pembacaan meter yang diberikan dibahagikan sama rata untuk jumlah blok tarif setiap bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kaedah prorata ini tepat dan jelas. Kaedah ini juga disemak dan disahkan Suruhanjaya Tenaga. Kaedah yang sama juga digunakan oleh (syarikat) utiliti lain di luar negara seperti di Australia dan juga di Eropah," katanya.

Beliau berkata demikian untuk menjelaskan salah faham mengenai bil elektrik yang melambung tinggi semasa tempoh PKP berikutan dakwaan pengiraan bil yang tidak munasabah.

Megat Jalaluddin berkata, kaedah prorata yang digunakan untuk pelarasan bil menjamin pengguna tidak dicajkan bil berlebihan.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata, penggunaan elektrik dalam sektor kediaman meningkat di antara 20 dan 50 peratus susulan PKP kerana penggunaan lebih tinggi oleh penghuni yang berada di rumah selain lebih banyak syarikat yang membenarkan pekerja bekerja dari rumah masing-masing.

Semasa PKP, TNB mengeluarkan bil anggaran kerana pembacaan meter dan penyerahan bil di premis pengguna ditangguhkan bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

Pembacaan meter di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur disambung semula bermula bulan ini manakala pembacaan meter di negeri-negeri lain disambung semula sejak 15 Mei kerana perlu terlebih dahulu diklasifikasikan sebagai zon hijau dan kuning Covid-19.

Berikutan penyambungan semula pembacaan meter, TNB melaraskan semula bil pelanggan menggunakan kaedah prorata.

Bagi memudahkan pengguna, TNB memberi kemudahan bayaran secara ansuran untuk bil dalam tempoh PKP sehingga Disember nanti.

Kemudahan tersebut diberikan secara automatik kepada lebih 7.5 juta pengguna sektor kediaman.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:30 AM