PENGGUNA TNB akan terus menerima bil secara penghantaran fizikal oleh pembaca meter sepanjang PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok hingga 27 Oktober. FOTO Arkib NSTP
PENGGUNA TNB akan terus menerima bil secara penghantaran fizikal oleh pembaca meter sepanjang PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok hingga 27 Oktober. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menerima bil secara penghantaran fizikal oleh pembaca meter sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok hingga 27 Oktober ini.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, bacaan meter elektrik di kediaman atau premis pengguna akan dilakukan seperti biasa oleh kakitangannya sepanjang tempoh PKPB dengan mengambil kira garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan pembaca meter terjamin.

"Bil pengguna adalah berdasarkan bacaan sebenar dan bukan bacaan anggaran.

"TNB ingin menasihatkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh PKPB memandangkan penggunaan elektrik isi rumah mungkin meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan sama ada bagi yang mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah mahupun menghadiri sesi pembelajaran secara maya.

"Mengambil iktibar pengalaman semasa PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, orang ramai disarankan untuk lebih peka dengan corak penggunaan elektrik," katanya.

Menerusi kenyataan sama, TNB memaklumkan kedai tenaga di kawasan terbabit terus beroperasi mengikut waktu biasa bagi kemudahan pelanggan bermula 9 pagi hingga 4 petang manakala kiosk TNB antara 8.15 pagi sehingga 10 malam.

Namun, pengguna digalak melakukan sebarang transaksi TNB secara dalam talian sepanjang PKPB bagi mengurangkan keperluan untuk bersemuka.

Urusan transaksi boleh dilakukan menerusi portal atau aplikasi myTNB. Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 15454 atau layari Facebook (Fb) TNB CareLine.

Maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak boleh didapati dengan melayari laman web https://www.mytnb.com.my. Manakala, maklumat berkaitan diskaun ditawarkan boleh diperoleh di www.tnb.com.my/prihatin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:19 PM