GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

TENAGA Nasional Bhd (TNB) merancang memperluaskan pemasangan meter pintar di seluruh negara dengan sasaran 1.2 juta unit di Lembah Klang selepas kejayaannya memasang 340,000 unit di Melaka.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, syarikat utiliti itu dijangka membekalkan hampir sembilan juta unit di seluruh negara menjelang 2021 supaya lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada meter berkenaan.

Beliau berkata, meter pintar mempunyai banyak kelebihan dan teknologi yang digunakan adalah berkesan untuk mengawal penggunaan elektrik.

"Antara kelebihan meter pintar ialah pelanggan boleh mengetahui trend penggunaan dan apabila kita mendapat maklumat mengenainya, pelanggan boleh mengawal trend itu," katanya dalam temu bual di Buletin Utama terbitan TV3, baru-baru ini.

Megat Jalaluddin berkata, antara maklum balas positif yang diterima mengenai meter itu ialah pengguna terus menerima bil elektrik seperti biasa (bukannya bil anggaran) meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepanjang tempoh PKP ini, pengguna yang dipasang meter pintar tidak terkesan dengan bil anggaran, malah mereka menerima bil sebenar penggunaan semasa tempoh PKP," katanya.

Beliau berkata, bil sebenar pengguna boleh diakses terus menerusi emel, paparan di aplikasi MyTNB dan laman web TNB.

Katanya, menerusi penggunaan aplikasi itu, pembayaran bil juga lebih mudah, tepat dan telus di samping dapat mengawal dan memantau penggunaan untuk mendidik mereka mengenai penjimatan tenaga.

Setakat ini, lebih 700 juta meter pintar sudah dipasang di seluruh dunia termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

TNB memulakan pemasangan meter pintar di bawah projek perintis di Melaka dan Putrajaya sejak 2014 hingga 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 5:03 PM