BOT bersama tiga nelayan tempatan ditahan kerana melanggar zon menangkap ikan. FOTO Ihsan APMM Selangor.
BOT bersama tiga nelayan tempatan ditahan kerana melanggar zon menangkap ikan. FOTO Ihsan APMM Selangor.
Ruwaida Md Zain


TIGA nelayan ditahan di kedudukan 3.4 batu nautika barat daya Sungai Serdang Besar, Pelabuhan Klang, hari ini kerana melanggar zon kawasan menangkap ikan.

Nelayan berusia antara 38 hingga 42 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor pada 12.15 tengah malam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, nelayan berkenaan dikesan masih berdegil melanggar zon kawasan menangkap ikan dengan melakukan aktiviti menunda di bawah lima batu nautika dari pantai.

"Anggota penguat kuasa APMM Selangor menahan bot nelayan tempatan Kelas B itu ketika pihaknya sedang melakukan pemantauan di sekitar perairan Sungai Serdang.

"Pemeriksaan mendapati, terdapat tiga warga tempatan termasuk tekong sedang leka menangkap ikan.

"Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata, mereka ditahan bersama ikan campur yang dianggarkan kira-kira 15 kilogram mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari lima batu nautika.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:36 AM