Raja Noraina Raja Rahim


WARGA asing yang dibenarkan memasuki Malaysia perlu membayar caj kuarantin dan kos ujian pengesanan Covid-19 di pintu masuk negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, warganegara asing yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan 'Not-To-Land' atau tidak dibenarkan masuk oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas, hari ini susulan ada kes warga asing yang enggan membayar caj kuarantin dan kos ujian pengesanan Covid-19.

"Ada antara mereka sebelum ini yang bersetuju untuk membuat bayaran dan kita lepaskan mereka ke hotel, tapi selepas keluar hotel mereka tak mahu bayar.

"Oleh itu, kita buat keputusan sebelum mereka melepasi JIM, mesti membuat bayaran. Kalau enggan bayar, kita tak benarkan masuk ke negara ini, jadi terus berada di lapangan terbang," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Katanya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis membuat 1,367 pemeriksaan mengejut, semalam untuk memastikan mereka dikuarantin di rumah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Seramai dua individu dikenakan tindakan. Polis mengambil tindakan terhadap individu kes indeks dalam kluster Sivagangga yang tidak mematuhi peraturan.

"Individu terbabit dihukum penjara lima bulan dan didenda RM12,000 kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah oleh Mahkamah Majistret Alor Setar," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 4:23 PM