Suraya Roslan


JIKA sebelum ini masyarakat bergantung kepada anggota barisan hadapan untuk membendung penularan Covid-19, kini mereka pula mengharapkan rakyat Malaysia dapat memainkan peranan lebih besar dalam memerangi wabak pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri dan cuti umum di Malaysia, ramai anggota barisan hadapan masih bertugas.

"Dalam doa, tafakur, ingatan dan rintihan hati mereka, petugas barisan hadapan sangat berharap supaya seluruh masyarakat Malaysia memainkan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dalam tempoh perayaan ini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengambil kesempatan di hari mulia ini untuk melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan KKM dan sukarelawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pelbagai agensi lain yang komited memberikan perkhidmatan mereka ketika Aidilfitri ini.

"KKM ingin menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia terutama kepada anggota barisan hadapan yang terus berdedikasi bertugas dan berkhidmat untuk negara pada hari lebaran ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Ramadan dan Syawal kali ini disambut dalam suasana berbeza, namun penuh bermakna.

PERAYAAN Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun masyarakat Islam tetap meraikannya bersama keluarga dengan penuh kesyukuran. FOTO BERNAMA
PERAYAAN Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun masyarakat Islam tetap meraikannya bersama keluarga dengan penuh kesyukuran. FOTO BERNAMA

Menurutnya, Ramadan dilalui dengan penuh kesabaran apabila rata-rata umat Islam di Malaysia melakukan pengorbanan, menjalani Ramadan dengan normal dan kebiasaan baharu bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat terus dibendung.

"Pencapaian ini sewajarnya dipuji dan diteruskan. Seperti diumumkan sebelum ini, sepanjang Syawal tradisi seperti kunjung-mengunjung ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai adalah tidak dibenarkan.

"Malah, sambutan kali ini dimeriahkan secara tertutup dengan ahli keluarga di rumah masing-masing.

"Semoga dengan normal dan kelaziman baharu ini kita dapat sama-sama membendung wabak Covid-19 semasa dan selepas musim perayaan ini.

"Sesungguhnya perjuangan kita menentang musuh tidak kelihatan ini masih belum selesai dan ini adalah salah satu tanggungjawab kita kepada komuniti dan negara," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 5:38 PM