Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


PELEPASAN cuti sempena Aidilfitri kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergantung kepada keadaan semasa kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terutama berdasarkan hasil selepas 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 18 Mei ini atau 25 Ramadan.

Beliau berkata, KKM memantau kes seharian dan melihat perkembangan terkini kes Covid-19 dengan terperinci.

"Kes harian masih di tahap dua digit dan dilihat terkawal. Cuti raya barisan hadapan, kita akan lihat keadaan semasa.

"Tetapi apa yang kita hendak tekankan ialah kes bagi tempoh 14 hari PKPB antara 4 Mei hingga 18 Mei.

"Tindakan kita sama ada boleh melepaskan warga kerja KKM untuk bercuti bergantung kepada keadaan semasa," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, petugas mungkin akan bergilir-gilir untuk laksanakan tugas dan ada dalam kalangan mereka diberikan cuti.

"Ini sebagaimana yang kita laksanakan setiap tahun bergilir-gilir (bercuti dan bertugas sewaktu musim perayaan)," katanya.

Terdahulu dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham memaklumkan 40 kes positif baharu dicatatkan semalam yang sekali gus mengekalkan angka antara yang terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, 18 Mac lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 31 kes adalah dalam kalangan bukan warga Malaysia dan tiada kes import dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:57 PM