ANGGOTA penguat kuasa DBKL meletakkan notis penutupan terhadap premis dikendalikan warga asing di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL
ANGGOTA penguat kuasa DBKL meletakkan notis penutupan terhadap premis dikendalikan warga asing di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA premis yang dikendalikan warga asing tanpa kebenaran di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ditutup Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Jurucakap DBKL berkata, tindakan itu membabitkan lima kedai tudung dan pakaian.

"Tindakan penguatkuasaan dilakukan termasuk mengeluarkan notis penutupan premis serta merta membabitkan perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah.

"Ia dilaksanakan susulan aduan yang diterima melalui media sosial serta pemantauan dilakukan DBKL sendiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun terhadap pemilik premis pembekal buah-buahan serta lapan notis kesalahan lalu lintas terhadap kenderaan berat yang diparkir menghalang laluan awam di Lorong Haji Taib, Chow Kit.

"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berdasarkan peruntukan dan prosedur operasi standard DBKL mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:23 PM