ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita dan menutup premis kedai runcit disewa warga asing. FOTO ihsan DBKL
ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita dan menutup premis kedai runcit disewa warga asing. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima premis kedai runcit warga asing di Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat, di sini, disita serta diarah tutup dalam operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

DBKL dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan lima tindakan diambil pihaknya dengan kekuatan 17 anggota Jabatan Penguatkuasaan dan kakitangan Pejabat Cawangan Titiwangsa.

"Ia membabitkan premis kedai runcit milik warga asing di kawasan Kampung Baru iaitu di Jalan Hamzah, Jalan Raja Muda Musa dan Persiaran Sungai Baru, manakala di Jalan Datuk Keramat, satu tindakan diambil.

"Lima tindakan sita dan tutup premis dilakukan mengikut Akta 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan satu sitaan mengikut UUK3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," katanya.

Menurutnya, empat notis kesalahan turut dikeluarkan membabitkan tiga notis mengikut UUK 20(1)(b) kerana menggajikan warga asing sebagai pekerja dan satu notis mengikut UUK3 (2) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Siasatan dan semakan dilakukan DBKL mendapati warga asing berkenaan menyewa premis terbabit daripada warga tempatan dengan kadar sewa RM500 hingga RM1,000 sebulan bergantung kepada keluasan tapak.

"Tindakan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Warga kota diminta bekerjasama untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti ini dengan menghubungi kami secara dalam talian di laman sesawang adukl dbkl.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 11:10 AM