SURINA (dua dari kanan) memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya di Ulu Pauh, Arau, hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
SURINA (dua dari kanan) memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya di Ulu Pauh, Arau, hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TINDAKAN lelaki berpakaian kemas memberi alasan mahu ke kebun gagal apabila diarah berpatah balik dipercayai cuba merentas negeri dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Changlun-Arau dekat Ulu Pauh, Arau, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari, lelaki berusia 50-an memandu kereta seorang diri dari arah Changlun, Kedah dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan dilakukan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, tindakan itu sepatutnya tidak berlaku kerana penularan Covid-19 ketika ini berpotensi untuk muncul semula walaupun Perlis kini berstatus zon hijau.

"Sepatutnya dalam keadaan sekarang, semua pihak mengambil tanggungjawab menjaga diri, keluarga dan masyarakat sekeliling daripada bahaya wabak ini.

"Saya menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan untuk melakukan perjalanan rentas negeri semata-mata untuk pulang beraya," katanya ketika ditemui di SJR Ulu Pauh, Arau, hari ini.

Surina berkata, pihak polis menutup semua jalan masuk ke negeri ini termasuk batas ban, jalan tepi sungai dan mini tar yang menghubungkan antara Perlis dan negeri lain bagi mengekang wabak itu ketika musim perayaan.

Beliau berkata, penjagaan antara sempadan Perlis/Kedah menjadi keutamaan ketika ini bagi mengelakkan kebocoran individu yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran pihak polis.

Katanya, pihaknya turut memperketatkan kawalan dengan menambahkan jumlah anggota pemantauan di sekitar bandar utama di negeri ini menjelang musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 7:14 PM