Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PELANCONG warga Jerman ditahan reman empat hari bermula hari ini selepas cuba merentas negeri tanpa kebenaran masuk ke Perlis dengan berjalan kaki di Ulu Pauh, Kangar semalam.

Dalam kejadian 12.45 tengahari, lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan berjalan kaki selama sembilan hari dari Gerik, Perak menuju ke Pulau Langkawi bagi menaiki penerbangan kembali ke ibu negara.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, lelaki terbabit terkandas di Gerik sejak Mac lalu dan dipercayai sudah berada di negara ini sejak Februari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, lelaki itu dilihat berjalan kaki berseorangan dari arah Changlun, Kedah sehingga sampai di sekatan jalan raya Ulu Pauh yang ketika itu dikawal oleh anggota keselamatan dalam Op Cantas/Covid-19 sebelum ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas pelancong terbabit mendapati dia mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun tidak mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri daripada pihak berkuasa.

"Dia memberi alasan ingin ke Pulau Langkawi dengan menaiki feri di Kuala Perlis, namun tidak mengetahui bahawa ketika ini negara sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika dihubungi hari ini.

PELANCONG warga Jerman akan jalani saringan Covid-19. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
PELANCONG warga Jerman akan jalani saringan Covid-19. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Nanda berkata, lelaki terbabit direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Kes ini akan dimaklumkan kepada kedutaan Jerman di Malaysia dan pelancong terbabit akan dibawa ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Perlis untuk ujian saringan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 1:44 PM