GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS menafikan ada mengeluarkan arahan yang melarang pergerakan rentas daerah dan negeri bermula 22 hingga 27 Mei ini seperti yang tular di media sosial sejak pagi hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, hebahan yang menyatakan kononnya ada arahan baharu dikeluarkannya kepada semua balai polis di negeri ini yang melarang pergerakan rentas daerah serta negeri kecuali membabitkan kes kematian adalah tidak benar.

"Kita sedia maklum rentas negeri memang tidak dibenarkan tetapi arahan larangan merentas daerah itu tidak benar.

"Kita tidak keluarkan apa-apa arahan berkaitan larangan rentas daerah dan saya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai apa yang tersebar di laman sosial.

"Masyarakat perlu semak dahulu kesahihan berita yang diterima sebelum membuat sebarang pandangan atau menyebarnya kepada orang lain.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial untuk mengeluarkan mana-mana berita yang tidak benar.

"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan berita tidak benar mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai larangan merentas daerah dan negeri yang baharu dikeluarkan pada 22 hingga 27 Mei ini kecuali kes kematian yang perlu menunjukkan bukti permit kubur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:07 PM