GAMBAR fail, sekadar hiasan.
GAMBAR fail, sekadar hiasan.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Larangan merentas daerah di Sabah akan kembali dilaksanakan semula selama lapan hari yang bakal mula berkuat-kuasa bermula 27 Mei sehingga 3 Jun ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, pihaknya sebelum ini mengeluarkan arahan merentas daerah bermula 10 Mei lepas sehingga hari ini seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, selepas tarikh terbabit, kerajaan negeri akan melaksanakan semula sekatan rentas daerah mengikut zon seperti yang ditetapkan sebelum ini.

"Seperti yang diumumkan terlebih awal, Sabah akan kembali melaksanakan sekatan rentas daerah mengikut zon bermula esok.

"Bagaimanapun, larangan aktiviti rentas daerah akan dilaksanakan semula bermula 27 Mei sehingga 3 Jun.

"Dalam tempoh tersebut, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang adalah dikategorikan sebagai satu daerah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) dan pengguna jalan raya yang diberikan permit oleh polis atau dokumen sah kebenaran merentas daerah sahaja yang akan diberi pelepasan meneruskan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi turut menasihatkan rakyat Sabah agar tidak cuba melakukan tindakan untuk merentas daerah tanpa permit atau dokumen berkaitan.

"Rakyat di negeri ini dinasihatkan agar tidak mengambil risiko untuk mencuba nasib merentas daerah (tanpa permit atau dokumen) kerana pihak polis akan mengambil tindakan mengeluarkan arahan untuk berpatah balik.

"Tujuan larangan aktiviti rentas daerah adalah bagi mengawal pergerakan individu dan mengurangkan kontak fizikal demi membendung penularan Covid-19 di Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 11:07 PM