LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan berkaitan dakwaan kegagalan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran, Sabah memberikan rawatan yang tepat kepada seorang pesakit sehingga meninggal dunia

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya berjanji akan mendedahkan hasil siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu benar.

"Mengenai kes (berlaku di Hospital) Tuaran ini sebenarnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sudah mengeluarkan kenyataan, jadi kita juga akan melihat secara teliti adakah perkara yang berlaku itu dakwaan itu benar (atau sebaliknya).

"JKNS juga akan bertemu dengan keluarga mangsa dan kita akan memberikan kenyataan mengenai apa yang sebenarnya berlaku dari semasa ke semasa.

"Kita akan tengok dan teliti serta melihat apakah sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian," katanya ditemui pemberita ketika menemani calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail menyantuni pengundi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata demikian bagi mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung seorang pesakit yang dibenarkan pulang selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan serius oleh hospital berkenaan sebelum dilaporkan meninggal dunia

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga arwah pesakit terbabit dilaporkan berkata. beliau dimaklumkan pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang selepas menjalani pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 5:41 PM