TERTUDUH, Tek Zamani Mamat@Mohamad, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menumbuk mulut dan dahi isterinya selepas berlaku perselisihan faham. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH, Tek Zamani Mamat@Mohamad, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menumbuk mulut dan dahi isterinya selepas berlaku perselisihan faham. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


NELAYAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, atas tuduhan menumbuk mulut dan dahi isterinya selepas berlaku perselisihan faham, 18 April lalu.

Tertuduh Tek Zamani Mamat@Mohamad, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Engku Sri Shah Maria Engku Supian, 27, dengan menumbuk mulut dan dahi di sebuah rumah di Serada, Kuala Terengganu pada 12 tengah malam, 18 April 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, mengikut Seksyen 326A kanun itu tertuduh boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein dan Mohd Asaari Salleh.

Mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:23 PM