DR Mahathir Mohamad. FOTO arkib NSTP
DR Mahathir Mohamad. FOTO arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman


"HARI ini tidak ke istana (Istana Negara)." Demikian kata pegawai Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas desas-desus kononnya bekas Perdana Menteri itu akan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, seperti tular di media sosial, beberapa hari lalu.

Pegawai itu turut menafikan kononnya ada pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

"Tiada juga pertemuan dengan pemimpin PH," katanya kepada BH, hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial mesej mengatakan Dr Mahathir dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan surat sokongan daripada 129 Ahli Parlimen bagi membolehkan PH membentuk semula kerajaan.

Mesej itu turut menyebut PH dikatakan bakal mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Desas-desas perubahan kerajaan itu turut diperkuatkan lagi dengan hantaran dibuat beberapa pemimpin PH di dalam media sosial dalam tempoh 48 jam lalu mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini berada di hujung tanduk dan menunggu masa berakhir.

Kerajaan PH yang wujud selepas 9 Mei 2018, terbubar selepas 22 bulan mentadbir negara, susulan keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Krisis politik dan pentadbiran negara ini berakhir apabila kerajaan PN ditubuhkan dan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu, selepas mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

PN yang dibentuk pada 23 Februari lalu, menggabungkan 113 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), PAS, BERSATU, bekas PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 2:31 PM