Dr Mahathir pada sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berlepas ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari. FOTO Bernama
Dr Mahathir pada sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berlepas ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari. FOTO Bernama
BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang peralihan jawatan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju berbuat demikian kerana dalam Majlis Presiden PH itulah cadangan untuk melantik pemimpin PH dibuat dulu.

“...dan juga kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cadangan saya jadi pengerusi dan bakal perdana menteri,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Dr Mahathir yang berada di Azerbaijan untuk Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 yang berakhir hari ini berkata, beliau bersetuju jika ada pihak mahu membincangkan isu itu.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas ​​​​​​​kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, memang soal peralihan kuasa ​​​​​​​disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin membabitkan beliau, Dr Wan Azizah (ketika itu Presiden PKR), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 12:07 AM