Rosman Shamsudin


JENAZAH Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia petang tadi tiba di rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, jam 11.35 malam tadi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, penduduk dan rakan menunggu ketibaan jenazah.

Turut hadir, Naib Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Sheikh Hussein Maidin, Pengarah Urusan KY Group, Datuk Kassim Yaacob.

Kassim berkata, beliau menerima berita pemergian arwah jam 4.30 petang daripada rakan.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa arwah pada minggu lalu di sebuah restoran di Bandar Behrang 2020.

"Pemergian arwah satu kehilangan besar buat penduduk di Tanjung Malim," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung Kuala Slim, Shukeriradzi Md Said, 50, berkata, dia berjumpa arwah semalam di Pejabat Adun Slim dekat Slim River.

Katanya, arwah ingin menyerahkan seekor lembu untuk dijadikan korban pada Aidiladha ini.

"Ketika berjumpa, arwah mengadu sakit dada dan maklumkan akan pergi ke Kuala Lumpur untuk buat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Katanya, dia mendapat tahu berita pemergian arwah jam 4.30 petang melalui pegawai khas Adun Slim.

"Saya terkejut apabila menerima berita pemergian arwah kerana beliau pemimpin berjiwa rakyat yang banyak berjasa di kawasan Slim," katanya.

JENAZAH selamat tiba di Felda Sungai Behrang. FOTO  Rosman Shamsudin
JENAZAH selamat tiba di Felda Sungai Behrang. FOTO Rosman Shamsudin

Berita berkaitan

'Bila dengar dia menangis, saya tahu abang sudah tiada'

PM ucap takziah atas pemergian Khusairi

ADUN Slim meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 12:19 AM