Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan pembayaran zakat fitrah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini. FOTO SHAHRINNAHAR LATIB
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan pembayaran zakat fitrah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini. FOTO SHAHRINNAHAR LATIB
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan zakat fitrah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, hari ini.

Baginda membayar zakat fitrah berkenaan selepas menunaikan Solat Jumaat kepada amil, Mohd Saiful Bahari yang berada di pekarangan masjid berkenaan.

Baginda turut menyeru dan mengajak semua rakyat Pahang yang beragama Islam agar bersegera menunaikan zakat fitrah.

"Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atau secara dalam talian melalui laman sesawang MUIP serta Pahang Go," titah baginda dalam satu kenyataan media.

Baginda juga menyeru rakyat serta badan korporat yang mempunyai kemampuan serta cukup syarat agar turut membayar zakat harta.

Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP menitahkan agar kakitangan MUIP di negeri dan daerah sentiasa mempertingkatkan usaha mengagihkan wang zakat.

"Penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat di negeri ini yang juga wira tidak didendang dan menyumbang kepada pembangunan asnaf negeri Pahang," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:01 PM