BAKRI Sawir. FOTO Iqmal Haqim Rosman
BAKRI Sawir. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Abnor Hamizam Abd Manap


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang Bakri Sawir hari ini menafikan hasrat melompat parti sekali gus meninggalkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menerusi kenyataan dikeluarkan yang merujuk kepada laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina berhubung persoalan sama ada akan meninggalkan parti, beliau menjelaskan, itu adalah andaian dan tidak berasas.

"Sebarang berita yang dikeluarkan adalah tidak benar dan bukan daripada diri saya sendiri.

"Saya mohon rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan berita disebarkan sama ada di akhbar atau media sosial," katanya.

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Asas Tani negeri turut menyifatkan ia sebagai propaganda politik pihak tertentu.

Suasana politik di negeri ini kembali hangat apabila ada pihak yang mendakwa beberapa ADUN akan meninggalkan PH.

Ketua PKR Cabang Jelebu Yus Mazmi Ahmad Yusof pula mengatakan keadaan politik Negeri Sembilan masih stabil dan menganggap gosip lompat parti hanyalah kerja 'orang nakal'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:37 PM