PERSIAPAN akhir di Masjid Daing Abdul Rahman,  Nusa Idaman bagi pelaksanaan solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PERSIAPAN akhir di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman bagi pelaksanaan solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


WARGA emas berusia 70 tahun ke atas, pesakit kronik dan mereka yang berusia 15 tahun ke bawah dilarang menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau terpilih bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketidakhadiran ke masjid adalah dimaafkan dan termasuk kategori uzur.

Beliau berkata, perkara itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semua jemaah di Wilayah Persekutuan dan negeri yang memperoleh kebenaran melaksanakan solat Jumaat, berjemaah, Tarawih dan Aidilfitri ketika PKPB.

Katanya, penjarakan sosial sama ada di luar dan dalam masjid serta pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman harus menjadi keutamaan jemaah.

"Jarak antara ahli jemaah yang dibenarkan ialah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan wajib pakai pelitup muka.

"Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal, hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid.

"Selepas solat, pastikan terus bersurai dalam keadaan tenang dan tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta, pihak berkuasa agama setiap negeri mengambil serius SOP, termasuk mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran Jemaah dalam buku.

"Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat.

"Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa dan semua jemaah wajib membawa kad pengenalan diri kerana jika gagal mereka harus diarah pulang.

"Pintu masjid pula hanya dibenarkan buka sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan," katanya.

Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau terpilih serta umat Islam di Wilayah Persekutuan.

"Setakat ini kebenaran disyorkan kepada jemaah lelaki saja dan bergantung kepada keadaan, kita doakan semua boleh berjemaah selepas ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:27 PM