LEMANG sushi produk keluaran Zuriati Sulaiman laris setiap kali menjelang Aidilfitri. FOTO Mohd Amin Jalil.
LEMANG sushi produk keluaran Zuriati Sulaiman laris setiap kali menjelang Aidilfitri. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


"SAYA cuba cipta kelainan dengan memperkenalkan lemang sushi dan serunding nogori. Setakat ini sambutan amat menggalakkan daripada ejen untuk persiapan menyambut Aidilfitri," ujar pengusaha lemang sushi dan serunding nogori, Zuriati Sulaiman, 52.

Dia memaklumkan lega apabila kerajaan memberikan kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk sektor ekonomi terpilih kembali aktif.

Dia yang mengusahakan produk makanan lemang sushi dan serunding daging, ayam serta ikan bilis menggunakan jenama AWIE, mengakui pendapatannya terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

"Namun, apabila PKPB dikuatkuasakan dengan kelonggaran diberikan kepada sektor ekonomi untuk beroperasi, saya amat lega kerana dapat memulakan semula aktiviti perniagaan yang diceburi sejak lebih empat tahun lalu.

"Mulai awal minggu ini, kami sudah mula menerima tempahan daripada orang ramai bukan sahaja dari negeri ini termasuk dari Lembah Klang," katanya ketika ditemui di bengkel operasinya di Pusat Pertanian Ampang Tinggi Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Zuriati yang juga usahawan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) berkata, lemang sushi tidak menggunakan buluh seperti lemang tradisional, sebaliknya menggunakan peralatan khas yang dibakar menggunakan ketuhar.

"Proses pembuatan lemang sushi agak sedikit berbeza berbanding kaedah tradisional kerana tidak menggunakan buluh namun masih mengekalkan santan dan beras pulut sebagai bahan asli.

"Bahan berkenaan dibalut dengan daun pisang dan kemudian dibakar menggunakan mesin ketuhar yang diubahsuai supaya dapat memasukkan inti di tengah lemang berkenaan," katanya.

Menurutnya, lazimnya setiap kali Aidilfitri banyak tempahan diterima tetapi kali ini sukar dijangka, namun beliau bersyukur kerana permintaan terhadap lemang sushi masih tinggi.

Beliau yang memasarkan sendiri produk berkenaan termasuk di meletakkan produk itu di beberapa premis sekitar Seremban dan Kuala Pilah selain melalui ejen berkata, lemang

sentiasa mendapat sambutan kerana ia menjadi makanan kegemaran masyarakat Negeri Sembilan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Katanya, walaupun dari fizikalnya lemang sushi tidak sama dengan lemang tradisional, tetapi lemang sushi tetap mendapat permintaan memberangsangkan kerana memiliki pelbagai rasa antaranya berintikan durian Musang King, D24, ikan bilis, serunding, rendang ayam serta daging.

Dia yang dibantu tiga kakitangan berkata, proses penghasilan lemang sushi mengambil masa agak lama iaitu lima jam dan dalam masa seminggu, antara 800 hingga 1,000 batang lemang sushi dapat disiapkan.

Menurutrnya, lemang itu dijual antara RM20 hingga RM25 sebatang mengikut jenis inti manakala serunding antara RM10 hingga RM90 mengikut kategori berat.

"Untuk Aidilfitri kali ini, kami tidak dapat jangka kuantiti produk yang dapat disiapkan kerana masa agak suntuk.

"Bagaimanapun proses pengeluaran serunding lebih mudah berbanding lemang sushi, yang mengambil masa," katanya yang pernah menerima Anugerah Peladang Jaya Wanita Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 5:44 PM