MUKHRIZ Mahathir. FOTO BERNAMA
MUKHRIZ Mahathir. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


TEKA-TEKI mengenai perubahan kerajaan negeri Kedah yang baharu dijangka diketahui petang ini.

Sumber memberitahu Harian Metro, ia akan memuktamadkan kemelut politik negeri itu selepas kerajaan Pakatan Harapan dikatakan tidak mempunyai cukup kerusi untuk terus kekal sebagai kerajaan.

Muafakat Nasional dijangka membuat sidang media pada 2.30 petang ini.

Antara nama yang disebut-sebut akan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Sidang media pada petang ini juga dijangka mengumumkan tarikh mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan desas-desus pertukaran kerajaan di Kedah yang hangat diperkatakan kini memasuki 'pusingan akhir' dan satu pengumuman mengenainya dikatakan akan dibuat dalam waktu terdekat.

Sumber berkata, ia adalah disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Mukhriz kini semakin pincang termasuk hilang sokongan daripada partinya sendiri.

Menurutnya, untuk itu Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan Umno mempunyai peluang yang begitu besar untuk mengambil-alih kerajaan negeri selepas Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Persekutuan Mac lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai 36 kerusi dengan Pas mempunyai kerusi terbanyak iaitu 15 diikuti PKR (tujuh), Bersatu (enam), Umno (dua) Amanah (empat) dan DAP seramai dua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 10:26 AM