MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. FOTO BERNAMA
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Farhani Che Ad


PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas memperoleh bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mencukupi, hari ini.

Sumber memaklumkan, dua Adun dari PKR iaitu Adun Lunas, Azman Nasrudin dan Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dijadual mengadakan satu sidang media di Pusat Khidmat (Dewan Undangan Negeri) DUN Sidam, pada 12 tengah hari ini.

Sidang media itu dijangka bagi mengumumkan kedudukan mereka di dalam kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia kemudian diikuti sidang media PN pada 3 petang ini, yang dijangka disertai pimpinan PAS dan UMNO Kedah bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah dan tambahan dua kerusi PKR menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 19 kerusi.

Jumlah 19 kerusi DUN Kedah itu sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu yang bakal menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hilang majoriti.

Minggu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 12:08 PM